Orang awam temui bom tangan berkarat di Skudai

28

20 JAN : Orang awam di Taman Universiti Skudai menemui sebutir bom lama jenis ‘hand grenade’ dalam keadaan berkarat di tepi jalan sekitar kawasan tersebut kira-kira pukul 11 pagi tadi.

 Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata, polis menerima maklumat berhubung penemuan objek dan hasil siasatan mendapati bom berkenaan merupakan bom lama jenis hand grenade PRB 36 yang berukuran panjang 4.5 inci dan ukur lilit lapan inci.

“Susulan daripada itu tindakan pemusnahan dilakukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 5 petang.

“Bom berkenaan dimusnahkan dengan teknik ‘high order’. Ia dijalankan tanpa ada sebarang insiden berlaku sama ada melibatkan kehilangan nyawa ataupun kerosakan harta benda,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.          

Bagaimanapun setakat ini, pihak polis mendapati tiada motif dan ancaman jenayah dilaporkan susulan penemuan bom berkenaan, jelasnya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai yang menjumpai sebarang objek seperti bom atau bahan letupan supaya tidak menyentuh atau mengalihkannya.

“Sekiranya menjumpai objek seperti itu, orang ramai hendaklah dengan kadar segera melaporkan penemuan objek tersebut ke balai polis berhampiran,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.