MN dan PN bersatu sebelum PRU-15 – Abdul Hadi

194

20 JAN: PAS akan memainkan peranan dalam memastikan dua gabungan politik, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bersatu untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kajian yang dijalankan mendapati tiada parti yang boleh memenangi PRU-15 secara bersendirian.

“Dengan sebab itu, kita utamakan gabungan orang Melayu Islam dahulu supaya kepimpinan Islam dapat diwujudkan dengan kuat.

“Sebab itu kita, mendesak supaya MN dan PN sama-sama. Bagi kita, perlunya kuatkan MN, perkasakan PN supaya kepimpinan Melayu Islam dapat bersatu, dalam masa yang sama, melibatkan sekali masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendekatan PAS menjelang PRU15 sama ada memilih MN atau PN dalam Bicara Negarawan bersama Presiden PAS bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN).

Ahli Parlimen Marang itu juga bimbang sekiranya kuasa politik bukan Islam mendominasi pentadbiran negara sekiranya orang Melayu dan Islam berpecah semula.

Abdul Hadi memberitahu, situasi itu tidak selaras dengan hakikat majoriti penduduk di negara ini dan orang Melayu dan umat Islam.

“Islam mensyaratkan kepimpinan Islam mesti daripada kaum yang mendominasi penduduk. Ini syarat dalam kita fiqh Islam,” jelasnya.

Beliau juga yakin segala isu melibatkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan selesai sebelum PRU-15.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.