Kesihatan Hamzah stabil, jalani rawatan di PPUM

58

20 JAN: Keadaan kesihatan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan stabil dan beliau masih menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas dimasukkan ke hospital berkenaan akibat jangkitan COVID-19, sejak beberapa hari lalu.

Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan media hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menzahirkan keprihatinan terhadap tahap kesihatan Hamzah.

“Untuk makluman, YB Datuk Seri Hamzah Zainudin kini sedang menjalani rawatan serta kuarantin di PPUM dan tahap kesihatan beliau berada dalam keadaan yang stabil.

“Sehubungan itu, Pejabat Menteri Dalam Negeri memohon agar semua pihak untuk terus mendoakan kesembuhan kepada YB Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Sebarang perkembangan berkaitan tahap kesihatan YB Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sahih dan rasmi hanya akan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Dalam Negeri, ” katanya.

Terdahulu, tular maklumat menerusi mesej WhatsApp kononnya dimasukkan ke wad PPUM semalam disebabkan kesihatannya merosot akibat jangkitan virus COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.