Kadar kenaikan harga minyak masak masih rendah

142

20 JAN: Kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan adalah pada kadar rendah walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran dunia meningkat dengan ketara antara Julai 2019 hingga bulan ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, situasi itu menunjukkan strategi subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan.

“Selain itu, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) pada harga RM2.50 terutamanya bagi golongan B40,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

khairuddin
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

Beliau mengulas tentang isu kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan yang tular dalam media sosial kebelakangan ini di mana ada pihak yang mendakwa keadaan itu berpunca daripada kenaikan harga MSM.

Mohd Khairuddin menambah, Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa sekitar 1 juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik 1 kg.

Menurut beliau, selebihnya sebanyak 0.28 juta tan adalah tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol 1 kg hingga 5 kg dan tin 17 kg.

“Pada masa yang sama, Malaysia mengeksport sebanyak 24 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM64.8 bilion bagi tempoh dari Januari hingga November 2020.

“Sepanjang tahun 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan telah mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879.00 satu tan dan meningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020,” jelasnya.

Mohd Khairuddin memberitahu, harga MSM telah meningkat sebanyak 92.7 peratus atau RM1,741.50 satu tan berbanding paras terendah yang direkodkan pada tahun 2019.

Beliau berkata, harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan faktor-faktor seperti pemintaan dan penawaran minyak serta lelemak dunia serta pelbagai faktor lain.

“Peningkatan harga MSM ini juga telah meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosioekonomi pada ketika ini.

“Kementerian berharap agar harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi bagi tahun 2021 supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut melalui pulangannya oleh kerajaan,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.