Johor buka 12 lagi pusat CAC

68

20 JAN : 12 lagi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di negeri ini akan dibuka bagi memenuhi keperluan pesakit positif yang masih belum dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan nasihat dan penilaian awal.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Johor R.Vidyananthan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kini sedang dalam proses untuk menyediakan CAC di negeri itu.

Menurutnya, penubuhan 12 pusat itu dilakukan memandangkan hanya terdapat sebuah CAC di negeri ini iaitu di Klinik Kesihatan Bukit Indah.

“Pesakit perlu memantau kesihatan diri dan sekiranya bergejala perlu memaklumkan kepada pihak hospital atau Pejabat Kesihatan Daerah untuk pertukaran status.

“Semenjak ditubuhkan CAC pada 10 Jan lepas sehingga semalam (19 Jan), seramai 1,876 pesakit telah hadir ke pusat berkenaan dan daripada jumlah itu, hanya 96 pesakit yang memerlukan rujukan ke hospital,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Johor mencatatkan sebanyak 368 kes positif COVID-19 dengan keseluruhan kes setakat ini melibatkan warganegara iaitu 7,913 kes, manakala bukan warganegara 5,794 kes.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.