4,008 kes baharu, 11 lagi kematian

25

20 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  hari ini mengesan 4,008 kes harian baharu COVID-19 di Malaysia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 169,379 kes, manakala kes aktif kebolehan jangkitan pula meningkat kepada 41,087 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, sebanyak 2,802 kes melibatkan warganegara termasuk lima kes import dan 1,201 kes melibatkan bukan warganegara.

“Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,391 kes (34.7 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 1,061 kes (76.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 513 kes (12.8 peratus), dan Johor sebanyak 470 kes (11.7 peratus).

“Sebanyak 113 kes (2.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (48 kes), Kluster Tembok Nanas (45 kes), Kluster Tembok Mempaga (6 kes), Kluster Telok Mas (5 kes), Kluster Tembok Kemus (5 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), dan Kluster Damai Pelangi (1 kes),” ujarnya menerusi satu kenyataan media harian COVID-19 hari ini.

Katanya lagi, jumlah kes sembuh pada hari ini ialah sebanyak 2,374 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 127,662 kes.

“Manakala kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah sebanyaj 246 kes dan kes yang memerlukan bantuan pernafasan ialah sebanyak 96 kes.

“Terdapat 11 kes kematian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 sebanyak 630 kes.

“Kes-kes kematian hari ini melibatkan empat kes dari Selangor, masing-masing tiga kes dari Sabah dan Johor, serta satu kes dari Sarawak iaitu sembilan warganegara dan dua bukan warganegara.

“KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.