Seluruh Malaysia bawah PKP kecuali Sarawak

120

19 JAN: Seluruh negara kecuali Sarawak berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ia dikuatkuasakan di enam negeri lagi mulai 22 Januari hingga 4 Februari ini.

Negeri-negeri tersebut adalah Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis.

Berikutan pengumuman oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, hanya Sarawak satu-satunya negeri yang masih menjalani PKP Pemulihan (PKPP).

Sebelum ini, PKP telah dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Johor, Sabah dan Kelantan.

Ismail sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini, Ismail Sabri berkata, langkah itu diambil ekoran peningkatan jumlah jangkitan kes COVID-19 di negeri-negeri terbabit.

Prosedur operasi standard (SOP) adalah sama dengan yang diumumkan sebelum ini dan orang ramai boleh merujuk laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk maklumat lanjut.

Beliau turut mengumumkan PKP Diperketatkan di Apartment Amber Court, Jalan Genting, Bentong, Pahang yang bermula pada 10 Disember lalu tamat esok seperti yang dijadualkan.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar tamat seperti dijadualkan esok.

Walau bagaimanapun, Blok C dan Blok Sekolah di PPA Muar masih di bawah PKPD yang dilanjutkan tempoh mulai 21 Januari hingga 31 Februari.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 827 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 184 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 75 baki kes aktif sedang ditempatkan di Blok C serta seramai 10 orang kakitangan yang positif di Blok Sekolah,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.