PN sentiasa utamakan kelangsungan hidup rakyat

42

19 JAN: Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa meletakkan kelangsungan kehidupan rakyat, pemulihan ekonomi secara efektif dan kesihatan awam untuk terus kekal berdaya saing sebagai keutamaan paling tinggi negara.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris menyifatkan langkah pengumuman semalam merupakan pakej berciri realistik dan dinamik berdasarkan kesinambungan pelaksanaan beberapa pakej rangsangan ekonomi negara lalu termasuk Belanjawan 2021 bagi berdepan penularan pandemik Covid-19.

“Saya menaruh keyakinan dan harapan tinggi pelaksanaan PERMAI dengan sejumlah peruntukan RM15 bilion dengan 22 inisiatif mampu mengurangkan impak dan beban yang ditanggung setiap lapisan rakyat dan memberikan ketahanan serta kemapanan ekonomi negara untuk pulih semula.

RAZALI IDRIS
RAZALI IDRIS

“Menerusi insentif, bantuan, pemudahcara dan penambahbaikan dalam PERMAI, saya juga percaya pendekatan pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan Kabinet telah menyediakan dorongan yang betul bagi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Seiring dengan hasrat Perdana Menteri itu, adalah diharapkan proses birokrasi agensi dalam sistem penyampaian perlu disifarkan bagi memastikan agihan dan bantuan boleh disegerakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Razali memberitahu kerajaan telah melakukan yang terbaik demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat di negara ini khususnya dalam membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Justeru, tambah beliau, rakyat dipohon untuk melakukan yang terbaik, bersama-sama memulihkan ekonomi kendiri, keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya.

“Usahlah diperlekehkan niat murni kerajaan kerana apa yang diumumkan setiap pakej rangsangan ekonomi negara membawa pulangan semula kepada rakyat sendiri,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.