PKRC hampir penuh, Kelantan laksana kaedah HSO

24

19 JAN : Kaedah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) bagi individu positif COVID-19 mula dilaksanakan di Kelantan sejak seminggu lalu berikutan hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) hampir penuh di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata pelaksanaan HSO itu adalah bagi mereka yang tidak bergejala, anak muda, kanak-kanak dan bukan warga emas.

“Keadaan pesakit itu sendiri akan dipantau rapi dan akan dihubungi setiap hari oleh petugas kesihatan. Bagaimanapun, keadaan pesakit dan keadaan rumah mereka akan dinilai, yang mana jika ada warga emas dan kanak-kanak, pesakit itu akan dirawat di PKRC,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Teknikal COVID-19 kerajaan negeri di sini, hari ini.

Dr Izani menjelaskan, PKRC di negeri itu, iaitu di Dewan Jubli Perak dan Kolej Kejurawatan di Kota Bharu, dan Dewan Sivik di Gua Musang, kini menghampiri kapasiti maksimum.

“Justeru,kerajaan negeri bersedia untuk membuka lebih banyak PKRC di beberapa daerah di negeri ini.

“Jumlah kes COVID-19 di Kelantan sehingga hari ini adalah sebanyak 1,032 kes yang antara lain disebabkan perantau yang pulang ketika cuti sambutan hari Krismas bulan lalu dan juga pengabaian prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak tersebut,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.