Pinda Akta 355, hukuman lebih berat kesalahan LGBT

126

19 JAN: Kerajaan bercadang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965  atau Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, ketika ini hukuman semasa di bawah Akta 355 merangkumi  tiga tahun penjara, denda RM5,000 serta enam kali sebatan dilihat kurang memberi kesan kepada golongan LGBT.

Ahmad Marzuk berkata, pindaan Akta 355 berkenaan perlu kerana hukuman sedia ada kurang memberi kesan dan kesedaran kepada golongan LGBT supaya kembali ke pangkal jalan.

Beliau berkata, ketika ini tindakan tegas hanya diambil jika golongan LGBT mengenakan pakaian bertentangan dengan jentina asal mereka.

“Semua agensi dan penguat kuasa agama negeri sudah diarahkan mengambil tindakan terhadap mereka (LGBT) yang berkelakuan tidak sopan.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini bahawa maksiat daripada LGBT itu, kita tidak izinkan mereka berkelakuan seperti itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Food Bank oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kompleks Purnama dekat Pengkalan Chepa, Kelantan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan tidak sihat yang dilakukan oleh golongan berkenaan tampil membuat laporan kepada pihak berwajib bagi membolehkan tindakan tegas diambil.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.