Lelaki cuba sogok polis terima padah denda RM5,000

34

19 JAN : Seorang lelaki menerima padah kerana cuba menyogok seorang anggota polis apabila Mahkamah Seksyen memerintahkannya menjalani hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM5,000 kerana perbuatannya itu.

Beh Por Teik, 56, seorang pemandu teksi menjalani hukuman bermula hari ini dan mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

Terdahulu, Beh mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM50 kepada Lans Koperal Adam Mohd Alhafiz yang bertugas di cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang masih dikehendaki (wanted) bersabit satu kes tipu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kuching, di sini pada pukul 11 pagi, 16 Sept tahun lepas, mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian itu, Lans Koperal Adam dan seorang lagi anggota polis yang sedang membuat rondaan di Jalan Loke Yew, mengekori sebuah teksi dalam keadaan mencurigakan dan kemudian menahan kenderaan tersebut di Jalan Kuching untuk membuat pemeriksaan.

Pemeriksaan menggunakan sistem semakan MCAD (Mobile Card Acceptance Device) mendapati tertuduh mempunyai tiga rekod lampau, yang satu daripadanya masih dikehendaki bersabit laporan polis Taiping di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pengadu seterusnya memaklumkan kepada tertuduh bahawa pihak polis akan menangkapnya bersabit laporan Taiping yang dia masih dikehendaki.

Beh kemudiannya menunjukkan sekeping wang RM50 di tangan kanannya namun anggota polis itu mengingatkan tertuduh bahawa tindakan itu adalah satu kesalahan rasuah.

Beh tidak mengendahkan amaran itu lalu bertindak mencapai tangan kanan pengadu dan menyerahkan wang RM50 serta meminta dia dilepaskan tanpa perlu pergi ke balai polis.

Pengadu kemudian menggari tertuduh dan menyerahkannya kepada pihak SPRM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.