Kerajaan kaji rayuan lanjut tempoh operasi restoran

25

19 JAN: Kerajaan sedang mempertimbangkan rayuan orang ramai dalam media sosial agar operasi kedai dan restoran di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada jam 6 pagi dilanjutkan hingga jam 10 malam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka berpendapat sedemikian kerana tidak sempat membeli makanan untuk dibawa pulang ke rumah selepas pulang bekerja.

“Untuk pengetahuan semua, kerajaan sentiasa mendengar rungutan atau keluhan rakyat dalam semua aspek termasuk berkaitan perkara ini serta sudah dibawa dalam mesyuarat dan perkara ini masih dalam perbincangan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, Jabatan Perangkaan memaklumkan sehingga kini, dianggarkan seramai 23.5 juta penduduk atau 72.0 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk di negara ini masih belum mengisi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020).

Ismail Sabri menambah, susulan pelaksanaan PKP, Jabatan Perangkaan telah menyusun semula banci secara bersemuka dan membuka semula platform e-Census atau Banci Dalam Talian sebagai usaha menyekat penularan COVID-19.

“Justeru, orang ramai yang belum membuat pengisian banci diminta untuk mengisi segera maklumat banci secara dalam talian melalui www.mycensus.gov.my dengan membekalkan maklumat yang betul bagi tujuan perancangan dan pembangunan negara di masa hadapan,” jelasnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan semalam, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 590 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah itu, seramai 553 orang telah dikompaun, 35 individu direman manakala dua dijamin.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tidak memakai pelitup muka (188), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (75), tiada penjarakan fizikal (74), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (65), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (66), aktiviti pusat hiburan (1) dan lain-lain (121),” katanya.

Selain itu, pasukan keselamatan menahan seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas 12 kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara semalam.

Mengenai berita palsu berkaitan COVID-19, sehingga semalam, sebanyak 278 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan daripada jumlah itu, sebanyak 141 kes masih dalam siasatan, 35 kes telah didakwa di mahkamah, 12 kes diberi notis amaran.

“Bagi kes yang telah didakwa di mahkamah, sehingga kini 21 telah didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan.

“Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga telah mengeluarkan sebanyak 424 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan COVID-19,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.