Jangan hirau suara sumbang, terus usaha bantu rakyat

33

19 JAN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu menghiraukan suara sumbang dan terus memberi fokus kepada usaha membantu rakyat dan negara yang kini dihimpit pelbagai masalah akibat penularan wabak COVID-19 dan kegawatan ekonomi.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan berkata, pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dengan peruntukan bernilai RM15 bilion oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan betapa beliau sentiasa mencari jalan untuk membantu dan menyelesaikan masalah rakyat.

Wan Saiful berkata, iltizam Muhyiddin untuk menjaga rakyat dan menjana kembali ekonomi membuktikan betapa beliau merupakan seorang Perdana Menteri yang sentiasa mendahulukan rakyat dan negara.

Beliau berkata matlamat untuk memberi penekanan kepada memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat, dan menyokong kelangsungan perniagaan adalah pendekatan yang bertepatan dengan keperluan semasa.

“Rakyat perlukan tunai di tangan untuk membolehkan mereka berbelanja, baik untuk kehidupan seharian mahupun untuk menjaga kesihatan. Semua lapan inisiatif dalam agenda “Memelihara Kebajikan Rakyat” pasti akan membantu mempertingkat jumlah tunai di tangan kita semua.

“10 lagi inisiatif dalam kerangka Menyokong Kelangsungan Perniagaan pula akan memastikan pengusaha kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang ekonomi negara akan dapat terus menjalankan aktiviti mereka, lantas kekal menjadi majikan atau sumber pendapatan majoriti rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Saiful berkata, semua itu akan mewujudkan kitaran ekonomi domestik yang lebih terjamin dan menyumbang kepada penjanaan kembali ekonomi negara.

“BERSATU menggesa agar kerajaan meneruskan fokus kepada rakyat dan negara dan tidak menghiraukan suara-suara sumbang. BERSATU yakin rakyat dapat melihat dengan jelas keikhlasan YAB Tan Sri Muhyiddin dalam menjaga negara ini, dan betapa besar beza antara beliau dengan mereka yang tidak habis-habis dengan kepentingan peribadi.

“BERSATU juga mengajak semua pihak agar memberi sokongan penuh kepada YAB Tan Sri Muhyiddin dan kerajaan dalam usaha-usaha yang dijalankan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.