Jangan beri muka majikan sembunyi pekerja positif COVID-19

223

19 JAN: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menggesa kerajaan harus mengambil tindakan tegas dan tidak boleh berkompromi dengan mana-mana majikan yang cuba menyembunyikan status kesihatan pekerjanya yang positif COVID-19, jika dakwaan ini benar dilakukan.

Timbalan Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ini merupakan amalan yang tidak baik terutama dalam situasi negara sedang berperang dengan pandemik berkenaan di samping membuktikan ada yang tidak kena dengan majikan jika perbuatan tersebut dilakukan.

Menurut beliau, walaupun pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai dakwaan ini, namun kerajaan diharap memandang perkara ini dengan serius dan siasatan teliti perlu dilakukan agar perbuatan itu dapat ditangani dengan segera.

MOHD EFFENDY ABDUL GHANI
MOHD EFFENDY ABDUL GHANI

“Walaupun kita tiada bukti, bagi MTUC kerajaan tidak boleh berkompromi dengan mana-mana majikan yang cuba menyorokkan pekerjanya yang dijangkiti COVID-19 dan sekiranya benar berlaku, MTUC mencadangkan agar kerajaan mengambil tindakan sekeras-kerasnya.

“Ini kerana perbuatan ini bukan sahaja kesalahan malah boleh menyumbang peningkatan kes COVID-19 yang melibatkan nyawa. Tiada gunanya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan jika ada majikan bertindak menyorok pekerja mereka yang dijangkiti COVID-19,” katanya ketika dihubungi wartawan PN BBC Portal, hari ini.

Justeru, Mohd Effendy memberitahu majikan di semua sektor diminta berhubung dengan pihak berkuasa secara serta-merta sekiranya mengesan atau menerima maklumat terdapat pekerja mereka yang menunjukkan gejala COVID-19.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menguatkuasakan dengan lebih terperinci terhadap pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap perkara ini agar tiada majikan yang boleh mengambil kesempatan untuk menyembunyikan status pekerja mereka yang dijangkiti virus tersebut.

“Kerajaan mesti ambil tindakan terhadap majikan yang menyembunyikan tentang pekerja mereka yang terkena COVID-19 kerana bukan sahaja tidak mengikut SOP malah akan memberi permasalahan besar kepada negara.

“Kerana itu kerajaan perlu memfokuskan lebih terhadap tindakan penyelesaiannya dan bukan hanya kepada tindakan pengurusan. Kerajaan kini dilihat lebih kepada tindakan pengurusan COVID-19 bukan penyelesaiannya wabak tersebut dan kerana itu ada majikan yang dilihat cuba mengambil kesempatan terhadap perkara itu,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.