89 fasiliti kesihatan terjejas banjir,16 ditenggelami air

59

19 JAN : Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Bahari Awang Ngah berkata, sebanyak 89 fasiliti kesihatan di Pahang terjejas oleh banjir yang berlaku baru-baru ini dengan 16 daripadanya ditenggelami air.

Jelasnya, fasiliti yang dinaiki air ialah klinik kesihatan dan klinik desa di Temerloh, Bera, Lipis, Maran, Pekan serta Raub, manakala baki 73 lagi terputus hubungan apabila laluan terpaksa ditutup akibat ditenggelami air.

“Daerah Temerloh yang teruk dilanda banjir mencatatkan jumlah fasiliti paling banyak terjejas iaitu 25 buah termasuk 17 klinik desa, lima klinik kesihatan dan sebuah makmal pemakanan di Mentakab. 

“Walaupun terjejas banjir, operasi fasiliti terlibat masih diteruskan dengan menumpang di klinik kesihatan atau klinik desa, masjid atau bangunan sekolah berhampiran supaya penduduk tidak terlepas temu janji penting atau dalam situasi kecemasan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Katanya lagi, sepanjang banjir, JKNP turut menghantar pasukan perubatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan, menguruskan saringan kes Covid-19, manakala pasukan kesihatan bertugas memeriksa aspek kebersihan, memantau kualiti air minum dan menyiasat kejadian kes berjangkit jika ada, supaya langkah pencegahan boleh dilakukan segera.

“Bagi operasi pascabanjir pula, pasukan kesihatan akan meneruskan kerja seperti penilaian risiko penyakit bawaan air, menjalankan kerja pengklorinan sumber bekalan air dan memantau kebersihan premis makanan bagi menentukan premis terlibat selamat untuk beroperasi semula.

“Sepanjang tempoh itu juga JKNP memantau keberadaan 91 individu kontak rapat yang menjalani kuarantin kendiri di rumah di lokasi berisiko banjir supaya operasi pemindahan mereka dapat dilakukan secepat mungkin jika keadaan memerlukan,

“Sebanyak 20 pusat kuarantin mangsa banjir diwujudkan di seluruh Pahang bagi menempatkan kontak rapat COVID-19 sebagai langkah berwaspada dengan lima daripadanya, iaitu masing-masing satu di Lipis, Temerloh, dan Pekan serta dua di Jerantut, menerima 35 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sepanjang banjir melanda, 97 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) turut menjadi mangsa banjir manakala 410 orang lagi berdepan masalah untuk keluar bertugas kerana laluan terputus hubungan.

Bagaimanapun, mereka yang terputus hubungan, kekal berkhidmat sama ada di lokasi penugasan asal atau melaporkan diri di klinik kesihatan berhampiran, menjadikan jumlah kakitangan JKNP yang berkhidmat sepanjang banjir seramai 15,549 orang di seluruh negeri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.