18,812 hektar getah diserang penyakit luruhan daun

70

19 JAN: Seluas 18,812.98 hektar kawasan tanaman getah di negara ini telah diserang penyakit luruhan daun pestalotiopsis setakat Disember lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah mengesan penyakit tersebut di semua negeri kecuali Pulau Pinang, Perlis dan Sabah.

Menurut beliau, LGM telah mengambil langkah proaktif untuk memulakan usaha-usaha bagi mengawal penyakit ini daripada merebak seperti membuat rawatan semburan racun kulat kepada daun pokok getah yang dijangkiti dan memberikan khidmat nasihat kepada pekebun kecil bagi mengawal dan menghapuskan jangkitan berkenaan.

MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

“Racun kulat dengan bahan kandungan aktif seperti propiconazole, benomyl, chlorothalonil, mancozeb dan propineb didapati berkemampuan untuk merencatkan pertumbuhan kulat pestalotiopsis. Bahan aktif propiconazole (racun sistemik) yang berada di pasaran boleh merencatkan pertumbuhan kulat dengan ketara.

“Kementerian melalui LGM dengan kerjasama agensi berkaitan akan terus berusaha bagi mengawal penularan penyakit ini. Para pekebun boleh menghubungi pejabat LGM terdekat atau mengajukan sebarang pertanyaan kepada [email protected],” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui LGM telah mengesan penyakit luruhan daun pestalotiopsis pada pokok getah Malaysia pada tahun 2017.

Pokok getah yang diserang penyakit ini akan mengalami luruhan daun yang ketara dan tidak mengikut musim selain tompok-tompok berwarna coklat pada daun manakala kesan penyakit juga menyebabkan pengeluaran lateks berkurangan.

Penyakit ini turut menyerang pokok getah di negara-negara pengeluar getah lain seperti Indonesia (387,000 hektar), Thailand (122,530 hektar), Sri Lanka (20,000 hektar) dan India (300 hektar).

Sebuah Jawatankuasa Pestalotiopsis peringkat kebangsaan telah ditubuhkan tahun lepas untuk menyelaras tindakan secara menyeluruh bagi kawalan penyakit serta membincangkan isu-isu dan permasalahan berkaitan penyakit tersebut.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh KPPK, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Jabatan Pertanian, LGM, RISDA, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Jabatan Pertanian Sarawak, MARDI, Jabatan Kimia Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA), FELDA, FELCRA, Sime Darby Plantation dan Applied Agricultural Resources (AAR) Sdn Bhd. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.