14 kematian, kes aktif hampir cecah 40,000

43

19 JAN :  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan kes harian sebanyak 3,631 kes menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 165,371 kes, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 39,464 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tujuh  kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,624 kes.

Jelas Noor Hisham, bagi kes penularan di dalam negara, 2,754 kes adalah warganegara Malaysia manakala 870 kes adalah bukan warganegara.

“Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,199 kes (33.0 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 884 kes (73.7 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 526 kes (14.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 521 kes (14.3 peratus).

“Sebanyak 310 kes (8.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (217 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (47 kes), Kluster Tembok Nanas (22 kes), Kluster Damai Pelangi (19 kes), Kluster Tembok Mempaga (3 kes), Kluster Matambai (1 kes), dan Kluster Telok Mas (1 kes),” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 2,944 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 125,288 kes (75.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Sehingga kini, terdapat 238 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 96 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“KKM dengan dukacita memaklumkan terdapat pertambahan 14 kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 619 kes (0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.