Sia-sia sahaja Anwar cabar Proklamasi Darurat

881

18 JAN: Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu mencabar Proklamasi Darurat COVID-19 yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di mahkamah adalah perbuatan sia-sia dan tidak akan berjaya.

Pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ini kerana sebarang proklamasi darurat atau ordinan darurat tidak boleh dicabar di mana-mana mahkmah mengikut Fasal 8, Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, adalah tidak salah jika Presiden PKR itu mahu terus berbuat demikian dengan membawa kes semakan kehakiman berkenaan ke mahkamah.

muhammad fathi yusof
MUHAMMAD FATHI YUSOF

“Bagi saya perkara berkenaan (semakan kehakiman) adalah bagus kerana jika dilihat dari sudut perundangan dan prosedur proses proklamasi darurat berkenaan dibuat dengan cara dan tujuan yang betul iaitu untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dan menyelamatkan nyawa rakyat, serta memulihkan ekonomi negara.

“Saya berpendapat jika dibicarakan sekali pun saya berpendapat mahkamah akan memutuskan proklamasi darurat diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong berkenaan dibuat dengan cara yang sah dan prosedur yang betul,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Muhammad Fathi berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada proklamasi darurat yang diperkenankan Seri Paduka pada 12 Januari lalu masih boleh dicabar menerusi semakan kehakiman yang akan dibuat Ketua Pembangkang berkenaan di mahkamah dalam masa terdekat atau tidak,

Semalam, Anwar mengesahkan pasukan peguamnya kini sedang menyiapkan permohonan bagi mencabar langkah pengiytiharan darurat yang dibuat kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada minggu lalu, dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi juga berpandangan bahawa Anwar mungkin sedar bahawa tindakan mencabar keputusan proklamasi darurat di mahkamah sebenarnya perbuatan sia-sia namun Presiden PKR berkenaan perlu berbuat sesuatu demi kelangsungan politik.

“Biarpun, sudah menjangkakan keputusan semakan kehakiman berkenaan namun sebagai seorang politik beliau mestilah membuat sesuatu untuk tujuan tertentu,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.