Sambutan Thaipusam tidak dibenarkan di negeri PKP, PKPB

69

18 JAN : Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini mengumumkan Sambutan Thaipusam di kuil-kuil yang berada di dalam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah tidak dibenarkan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, dalam satu kenyataan berkata, keputusan kementerian itu dibuat selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Jan lepas, berhubung pelaksanaan PKP dan PKPB yang bermula 13 Jan lalu hingga 26 Jan ini.

“Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menteri Kanan Pertahanan Bilangan 3 Tahun 2021 susulan perbincangan KPN dengan ketua-ketua agama Hindu, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“KPN juga mengambil maklum keputusan semua kerajaan negeri supaya tiada upacara Thaipusam di rumah-rumah ibadat  di negeri masing-masing pada tahun ini kecuali kerajaan negeri Perlis,” ujarnya menerusi kenyataan itu.

Katanya lagi, mesyuarat teknikal KPN juga bersetuju bahawa upacara Thaipusam boleh dilaksanakan di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis dan Sarawak dengan kebenaran kerajaan negeri dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Setakat ini, hanya kerajaan negeri Perlis di bawah PKPP membenarkan upacara Thaipusam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.