Orang ramai diminta lapor SPRM jika ada maklumat

51

18 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan berhubung pendedahan kemusnahan kawasan hutan berhampiran Air Terjun Tanjung Batu, Manjung, Perak sekiranya ada laporan berhubung perkara tersebut.

Pengarahnya, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, SPRM akan memantau isu berkenaan dan akan menyiasat jika ada unsur penyelewengan atau rasuah dalam kes kemusnahan kawasan hutan berhampiran kawasan air terjun terbabit.

“Setakat ini, SPRM Perak belum menerima sebarang aduan berhubung aktiviti kuari yang didakwa menyebabkan kemusnahan kawasan air terjun berkenaan.

“Jika ada aduan dibuat, siasatan akan dilakukan. Jika orang awam mempunyai maklumat ketirisan berkaitan aktiviti atau sebarang penyelewengan dalam mana-mana kes, diminta segera melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan kepada media hari ini.

Keindahan air terjun berkenaan dan alam semula jadi di kawasan sekitarnya hampir lenyap apabila aktiviti kuari dan pembersihan hutan mula dikesan di kawasan berkenaan sejak Julai tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam kenyataannya hari ini berkata, kerajaan negeri mengarahkan sebarang aktiviti di sekitar kawasan berkenaan, dihentikan sementara menunggu hasil siasatan selesai dijalankan.

Beliau dilaporkan berkata, pihak Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga sudah diminta menyediakan laporan terperinci mengenai aktiviti kuari yang didakwa menjadi punca kepada kerosakan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata, polis setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara itu daripada penduduk mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.