Jangkitan naik mendadak, Seremban dan PD kena PKP

58

18 JAN: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam ini hingga 1 Februari 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKP Seremban dibuat berdasarkan kadar insiden jangkitan di daerah ini sangat tinggi dan berlaku peningkatan kes secara ketara dalam tempoh 14 hari iaitu dari 777 hingga 876 kes.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata kebanyakan mukim di Seremban juga adalah Zon Merah iaitu tujuh daripada sembilan mukim dan bilangan kes yang dilaporkan dalam masa 14 hari di tujuh mukim adalah dalam lingkungan 56 hingga 283 kes.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Manakala, di Port Dickson, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak dalam tempoh 14 hari yang melibatkan beberapa kluster iaitu daripada 35 kepada 167 kes.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKP di Seremban dan Port Dickson selama 14 hari bermula 19 Januari sehingga 1 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKP ini adalah untuk mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti dan mengawal pergerakan di kedua-kedua daerah ini,” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud yang dijadual tamat hari ini selepas Kementerian Kesihatan mendapati tiada lagi kes positif baharu dilaporkan dan sampel ujian swab yang senang menunggu keputusannya.

Beliau berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 516 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 53 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Kementerian Kesihatan turut mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini terkawal dimana kes terakhir direkodkan adalah pada 11 Januari 2021 dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Atas nasihat Kementerian Kesihatan, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah pada hari ini, 18 Januari 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.