Impak semasa PKP terhadap ekonomi masih terkawal

54

18 JAN: Impak semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas ekonomi masih terkawal manakala pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak menjangkakan impak yang sama seperti suku kedua 2020 akan dialami dengan pelaksanaan PKP kali ini memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Menurut beliau, pakej rangsangan ekonomi, Belanjawan 2021 dan pakej bantuan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) juga akan terus merancakkan penggunaan.

“Seterusnya, projek dan program yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar akan terus memacu momentum pemulihan ekonomi,” katanya ketika menyampaikan pengumuman khas PERMAI secara langsung hari ini.

PERMAI yang mempunyai 22 inisiatif berteraskan tiga matlamat utama membantu rakyat dan komuniti perniagaan semasa PKP melibatkan nilai keseluruhan RM15 bilion.

Muhyiddin memberitahu, kerajaan juga sedar pelaksanaan PKP yang disusuli dengan Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa di negara ini mulai 11 Januari hingga 1 Ogos 2021 mungkin menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan masyarakat serta komuniti perniagaan.

Beliau sekali lagi menegaskan, pengisytiharan darurat ini semata-mata bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang kini menjadi ancaman terbesar terhadap pembangunan sosioekonomi negara.

“Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impak daripada langkah tersebut ke atas persekitaran ekonomi negara adalah terkawal. Malah kita telah melihat bahawa sejak 11 Januari 2021, pasaran modal seperti Bursa Malaysia dan pasaran bon kekal stabil dan teratur.

“Bagi membiayai pakej bantuan PERMAI, kerajaan akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada berdasarkan keutamaan semasa dan melalui perbelanjaan yang lebih berhemat. Kerajaan juga akan memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan lancar,” jelasnya.

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan menjunjung kasih atas keprihatinan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kerana turut mencemar duli dalam meredah banjir serta terlibat dalam misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat penempatan sementara dan kampung-kampung sekitar Pahang baru-baru ini.

Beliau telah mengarahkan agensi kerajaan yang berkaitan, untuk menyegerakan segala bentuk bantuan bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur kecil, rumah mangsa banjir serta membantu meringankan beban rakyat akibat bencana alam itu baru-baru ini.

“Kerajaan juga bersetuju menyediakan peruntukan awal sebanyak RM200 juta. Di samping itu, sebanyak RM50 juta telah disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah NADMA bagi perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.