GKP PERMAI: 800,000 PKS terima bantuan kerajaan

19,383

18 JAN: Kerajaan akan memperluaskan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan kepada 500,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di tujuh negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bayaran RM1,000 ringgit, manakala 300,000 PKS di negeri yang lain akan menerima RM500.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perluasan inisiatif GKP Tambahan itu atau GKP PERMAI, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.

“Namun demikian, sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta-merta,” katanya ketika menyampaikan pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) secara langsung hari ini.

PERMAI yang mempunyai 22 inisiatif berteraskan tiga matlamat utama membantu rakyat dan komuniti perniagaan semasa PKP melibatkan nilai keseluruhan RM15 bilion.

Sementara itu, beliau menambah, bagi meringankan beban khususnya pemandu teksi dan bas, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.

Muhyiddin memberitahu, layanan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun turut dilonggarkan kepada lima tahun, mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

Insiatif-inisiatif lain yang diumumkan Perdana Menteri adalah seperti berikut:

Mempercepatkan Pelaksanaan Skim Mikrokredit: Sejumlah RM1 bilion kemudahan mikrokredit disediakan yang merangkumi pinjaman mudah berjumlah RM390 juta ringgit oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), RM350 juta oleh Agrobank dan RM295 juta oleh TEKUN.

Menyokong dan Merancakkan Perniagaan Dalam Talian: Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro dan kempen Shop Malaysia Online dengan jumlah peruntukan RM300 juta. Melalui kempen tersebut, usahawan mikro akan mendapat bimbingan perniagaan dan pembeli akan menikmati penjimatan melalui jual-beli secara dalam

Menambah Baik Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin (SJPD): Sebagai langkah penambahbaikan, kerajaan akan meningkatkan pembiayaan maksimum dari RM500 juta kepada RM1 bilion; memperluaskan skop pembiayaan kepada perbelanjaan modal dengan tempoh jaminan sehingga 10 tahun dan membenarkan syarikat milik asing yang beroperasi di Malaysia untuk mendapat jaminan SJPD dengan syarat jumlah pekerja tempatan mereka adalah sekurang-kurangnya 75 peratus.

Menjadual Semula dan Melanjutkan Tempoh Moratorium bagi Pinjaman MARA dan Sewaan Premis MARA: MARA akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind 2.0, di mana peminjam boleh memohon untuk membuat penjadualan semula bayaran balik kemudahan pinjaman pelajaran MARA atau moratorium pinjaman sehingga 31 Mac 2021.

Sebagai tambahan, usahawan MARA yang terkesan akibat COVID-19, PKP dan bencana banjir boleh membuat Program Penjadualan Semula Pembiayaan Perniagaan MARA.

Selain itu, bagi penyewaan premis perniagaan, MARA telah bersetuju untuk memberi diskaun 30 peratus bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga April 2021.

Meneruskan Pemberian Diskaun Bil Elektrik: Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara meliputi pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

Di samping itu, rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB), domestik dan bukan domestik, pada kadar 2 sen setiap kilowatt per jam, iaitu bersamaan penurunan bil elektrik sehingga 9 peratus bagi tempoh enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

Memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi: Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan akan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi. Di bawah skim ini, 50 peratus jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.

Dengan itu, pengusaha bas dan teksi dapat menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah. Jaminan sebanyak RM1 bilion ringgit akan disediakan untuk tujuan ini.

Melanjutkan Tempoh Pelepasan Cukai Khas Ke Atas Pembelian Telefon Bimbit, Komputer dan Tablet: Pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet yang telah berakhir pada 31 Disember 2020 akan dilanjutkan setahun lagi sehingga 31 Disember 2021.

Melanjutkan Tempoh Capaian Internet Percuma: Pemberian data 1 Gigabit secara percuma telah diberi kepada orang ramai untuk melayari laman sesawang, termasuklah untuk tujuan pendidikan. Kemudahan yang bernilai RM500 juta ini telah bermula pada 1 Januari 2021 dan akan dilanjutkan sehingga hujung April 2021.

Selain itu, pakej langganan khas untuk pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM akan diperluaskan kepada pelajar institusi pengajian tinggi sehingga hujung April 2021.

Melanjutkan Tempoh Pengecualian Cukai Jualan ke atas Kenderaan Penumpang: Bagi merancakkan semula jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat daripada wabak COVID-19, sebagai sebahagian daripada inisiatif pakej PENJANA, kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang jenis pemasangan tempatan dan import siap sehingga 31 Disember 2020. Kerajaan telah mengumumkan pelanjutan pengecualian ini sehingga 30 Jun 2021.

Melanjutkan Tempoh Moratorium bagi Peminjam PTPTN: Bagi peminjam PTPTN yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir, mereka boleh memohon moratorium bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan. Permohonan penangguhan boleh dibuat sehingga 31 Mac 2021.

Menambah baik Program Subsidi Upah: Kerajaan mengumumkan Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO akan ditambah baik, di mana semua majikan yang beroperasi dalam PKP layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor.

Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari RM4,000.

Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 ringgit yang dianggar akan memanfaatkan 250 ribu majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja.

Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP, Kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP PRIHATIN.

Pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, sekarang dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan.

Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM24 juta bagi membiayai caruman penuh untuk pekerja penghantaran barangan dan makanan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.