Garis panduan vaksinasi COVID-19 dalam masa terdekat

44

18 JAN: Kerajaan akan mengeluarkan garis panduan dan kaedah penentuan bagi individu yang perlu mengambil vaksin COVID-19 dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, realistiknya, program vaksinasi ini dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan.

Menurut beliau, kumpulan pertama yang dijangka menerima vaksin adalah pada awal Mac dan dapat meliputi lebih daripada 80 peratus atau hampir 27 juta penduduk Malaysia menjelang suku pertama tahun 2022.

“Saya juga ingin berkongsi bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus, dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan.

“Menentukan kemaslahatan komuniti bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak,” katanya ketika menyampaikan pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) secara langsung hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin memberitahu, mengambil kira situasi semasa, kerajaan akan menambah lebih daripada 3,500 anggota kesihatan yang mula bertugas pada hujung bulan ini, dengan peruntukan tambahan RM150 juta.

Beliau menambah, mereka terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.

“Saya memberi jaminan, sekiranya terdapat keperluan akan datang dan bagi menggerakkan program imunisasi kelak, kerajaan bersedia menambah pengambilan baharu,” jelasnya.

Perdana Menteri turut menyatakan, bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak COVID-19 berakhir.

Beliau berkata, hospital swasta telah bersetuju untuk menerima dan merawat kedua-dua pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam manakala kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing khususnya dalam sektor pembinaan dan kilang, prosedur operasi standard (SOP) bagi pembinaan bangunan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mensyaratkan syarikat menyediakan penginapan lengkap dan mengehadkan pekerjanya ke tapak pembinaan.

“Selaras itu, majikan disarankan untuk memperketatkan amalan SOP, menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi menyokong usaha membendung penularan COVID-19,” ujarnya.

Beliau menambah, untuk menyokong lebih banyak individu membuat ujian saringan dan pengesanan COVID-19 secara persendirian, skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh yang telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 seperti diumumkan pada Belanjawan 2021, kini diperluaskan untuk meliputi bayaran ujian pengesanan COVID-19. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.