DAP pecat Adun Malim Nawar

549

18 JAN : Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng dipecat serta merta daripada parti DAP kerana gagal memberikan penjelasan berikutan dakwaan beliau didapati memohon untuk menjadi anggota sebuah parti politik lain, demikian jelas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chien Jen.

Menurut Chong, mana-mana ahli DAP yang didapati memohon atau memiliki keanggotaan parti politik lain akan menyebabkan keahlian mereka sebagai anggota parti DAP terbatal serta merta.

“Perlembagaan DAP tidak membenarkan mana-mana ahli parti menganggotai parti politik lain dan sesiapa yang memohon atau didapati menjadi ahli parti politik lain, keahlian mereka akan terbatal kerana dianggap mengkhianati parti.

“Langkah yang dianggap ingkar dan angkuh kepada badan disiplin dalaman DAP itu tidak boleh diterima dan di atas sebab itu, Leong tidak memberikan pilihan kepada jawatankuasa disiplin kecuali membatalkan keanggotaannya serta-merta,” katanya.

Bagaimanapun, Adun Malim Nawar itu difahamkan masih lagi belum dimaklumkan berhubung pemecatan beliau sebagai anggota parti tersebut.

Katanya, buat masa ini terlalu awal untuk memberikan sebarang komen dan beliau akan membuat kenyataan akhbar sebaik menerima surat memaklumkan pemecatannya itu dari DAP.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.