3,306 kes harian baharu, 4 kematian

75

18 JAN : Malaysia hari ini melaporkan sebanyak 3,306 kes harian baharu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 161,740 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 38,791 kes. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,299 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 2,198 kes adalah warganegara Malaysia manakala 1,101 kes adalah bukan warganegara.

“Kes harian baharu hari ini masih memperlihatkan negeri Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,213 kes (36.7 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 912 kes (75.2 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 432 kes (13.1 peratus) dan Johor sebanyak 329 kes (10.0 peratus).

“Sebanyak 107 kes (3.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (65 kes), Kluster Tembok Mempaga (35 kes), Kluster Tembok Nanas (4 kes), Kluster Damai Pelangi (2 kes), dan Kluster Pagar Siput (1 kes),” ujarnya.

Sementara itu kata Noor Hisham, bilangan kes sembuh COVID-19 hari ini adalah sebanyak 2,293 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 122,344 kes (75.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Sehingga kini, terdapat 226 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 94 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita juga dimaklumkan terdapat pertambahan empat (4) kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 605 kes (0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.