Cabar Darurat di mahkamah, Anwar kemaruk kuasa

98

18 JAN: Tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mencabar Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong di mahkamah, membuktikan beliau merupakan seorang individu yang kemaruk untuk berkuasa.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan berkata, Anwar dilihat bersikap mementingkan diri apabila hanya pandai bercakap kosong tanpa menyuarakan sebarang cadangan yang baik untuk negara.

Menurut beliau, tindakan Presiden PKR itu melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin hanyalah sebagai langkah yang akan menyusahkan rakyat.

WAN SAIFUL WAN JAN
WAN SAIFUL WAN JAN

“Selepas Anwar mengaku mendapat sokongan yang ‘formidable and convincing’ untuk kesekian kalinya, kali ini beliau mahu bawa kerajaan ke mahkamah pula.

“Rakyat sepatutnya boleh lega kerana dalam tempoh darurat, orang politik sepatutnya kurangkan politik. Boleh tumpu usaha bantu rakyat yang dilanda banjir dan COVID-19.

“Tetapi Anwar masih tak habis-habis nak rampas kuasa. Sejauh mana dia boleh tersasar dari kenyataan? Apakah Anwar sudah terlupa agenda rakyat sebab mengejar jawatan?,” soal beliau menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Saiful memberitahu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap kekal fokus mengutamakan keperluan rakyat walaupun dilimpahi pelbagai tuduhan tidak berasas dari pembangkang.

Lebih menyedihkan, tambah beliau, Anwar turut menuduh bahawa kerajaan tiada perancangan yang jelas, namun hakikatnya Ahli Parlimen Port Dickson itu yang sebenarnya tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

“Kalau ada pandangan yang lebih baik, cuba sebut apa cadangan itu! Bukan bermain cakap kosong saja.

“Kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri kini merupakan kerajaan yang istiqamah dan fokus untuk mengutamakan keperluan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful turut mendedahkan Anwar dalam satu kenyataan di media sosial sebelum ini pernah mengeluarkan tuduhan bahawa Muhyiddin telah mengkhianati Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad selain terdesak setelah tidak mampu melakukan apa-apa untuk negara.

“Sedangkan semasa PH berkuasa, yang mengkhianati Dr Mahathir ialah Anwar sendiri yang tak habis-habis menggerakkan pendewa-pendewanya menyuruh Tun meletak jawatan.

“Dahulu di depan Dr Mahathir, Anwar menyatakan beliau sokong Tun, tapi di luar aktif menggerakkan jentera untuk mengkhianati Tun. Jangan nak bersihkan nama sendiri dengan cara tuduh Muhyiddin pula. Kata dulang paku serpih,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.