Berkhidmat kerana Allah, pesan Dr Noor Hisham

69

18 JAN: Ketika situasi pandemik COVID-19 dalam negara semakin menggerunkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menitipkan kata-kata semangat dan pesan kepada petugas barisan hadapan.

Dr Noor Hisham menerusi Facebook miliknya lewat malam tadi berpesan agar semua petugas hadapan memulakan kerja dengan menetapkan niat menjalankan khidmat kerana Allah agar semua beban kerja dapat dipermudahkan.

“Saya menyeru kepada semua frontliners iaitu sebelum memulakan tugas kita seharian, pastikan kita pasangkan niat dan nawaitu kita berkhidmat kerana Allah SWT.

“Insya-Allah akan dipermudahkan segala beban kerja dan selepas kita berusaha bersungguh-sungguh marilah kita bertawakkal kembali kepada Allah SWT. Ajal maut kita ditentukan oleh Allah SWT,” katanya.

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH

Sementara itu, menerusi hantaran yang sama, Noor Hisham turut memetik sepotong ayat al-Quran dari surah Ali Imran bermaksud setiap yang bernyawa pasti akan mati dan potongan ayat Al-Baqarah membawa erti ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’.

Dalam pada itu, hantaran tersebut tular di media sosial dan rata-rata netizen turut memberikan kata-kata semangat serta mendoakan kekuatan barisan hadapan menghadapi situasi pandemik kali ini.

Peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini dilihat naik mendadak sehingga mencecah 4,029 pada 17 Januari yang lalu.

Kini kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Baru-baru ini turut dilaksanakan PKP di Kelantan dan Sibu dan setakat ini, bilangan kes positif COVID-19 adalah 155,095 dan 594 kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.