Bantuan Khas Bukti Kerajaan Utamakan Kesihatan Rakyat

76

18 JAN: Pakej Bantuan Khas yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuktikan Kerajaan meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi di dalam pentadbirannya. 

Ini juga menunjukkan kerajaan mempunyai sumber yang mencukupi untuk memastikan sistem kesihatan awam akan terus berkhidmat kepada rakyat bagi memerangi pandemik Covid-19. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia dapat dilihat pada keputusan menambah sebanyak 3,500 kakitangan bertaraf kontrak pada hujung Januari ini melibatkan jururawat, anggota paramedik dan sebagainya.

“Manakala bagi mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan negara, sebanyak RM100 juta disediakan untuk merealisasikan kerjasama dengan hospital swasta di mana hospital swasta akan menerima dan merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

“Ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan bilangan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan daripada sektor kesihatan awam khususnya di hospital,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini. 

Terdahulu ketika pengumuman bantuan khas tersebut, KKM juga telah diberikan peruntukan sejumlah RM800 juta bagi keperluan petugas barisan hadapan yang melibatkan perolehan Kelengkapan Perlindungan diri (PPE), Reagen, Kit Saringan, Hand Sanitizer dan Bahan Guna Habis (consumable).

Sebanyak RM3 bilion diberikan kepada KKM untuk penyediaan vaksin Covid-19 dengan pelan vaksinasi yang sedang dirancang bermula selewat-lewatnya pada Mac ini.

Justeru, Adham merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pengumuman Pakej Bantuan Khas itu. 

“KKM menyeru agar semua pihak bersama-sama memerangi penularan pandemik,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.