368 pencawang eletrik Pahang dibuka secara berperingkat

10

18 JAN : Sebanyak 368 pencawang elektrik yang ditutup sementara ekoran banjir di negeri Pahang hari ini dibuka semula secara berperingkat selepas banjir di semua daerah di negeri itu semakin surut.

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang, Datuk Baderul Sham Saad, berkata, walaupun banjir masih berlaku di Pekan berikutan air termenung namun ia tidak menjejaskan operasi 15 pencawang elektrik yang sebelum ini ditutup sementara kerana ditenggelami banjir.

TNB juga menurutnya sedang menilai jumlah kerugian terutama apabila terdapat pencawang elektrik ditenggelami banjir.

“Temerloh mencatat jumlah tertinggi pencawang elektrik ditutup sementara iaitu sebanyak 95 diikuti Lipis sebanyak 73, Raub sebanyak 71, Jerantut sebanyak 45, Maran dan Jengka sebanyak 35, masing-masing 16 di Kuantan dan Bera serta 15 di Pekan, satu di Rompin dan Bentong,”

“Bagi menjaga kepentingan pengguna supaya tidak terus tertekan ketika banjir berlaku, mereka diberikan bekalan sementara melalui set jana kuasa mudah alih,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memuji komitmen dan kecekapan kakitangan TNB sehingga ada yang bertugas 54 jam tanpa henti bagi memastikan tidak berlaku gangguan elektrik terutama di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Lebih membanggakan terdapat kakitangan TNB yang terus bertugas sedangkan rumah mereka ditenggelami banjir.

“Sebanyak 26 rumah kakitangan TNB di beberapa daerah turut ditenggelami banjir, dan terdapat beberapa pihak syarikat tampil menyalurkan bantuan segera berupa barangan keperluan asas dan wang tunai,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.