PH belum hantar nama AJK Khas Bebas darurat

83

17 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan pembangkang masih belum menyerahkan nama calon untuk berada dalam Jawatankuasa Khas Bebas bagi mengendalikan pelaksanaan darurat.

Beliau berkata, jawatankuasa itu memperuntukkan sebanyak tiga nama Ahli Parlimen dari blok pembangkang untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

“Sehingga ini, saya belum terima lagi nama itu (daripada pembangkang). Sepatutnya saya terima nama itu kerana saya diarahkan untuk menulis surat itu.

takiyuddin hassan
TAKIYUDDIN HASSAN

“Di pihak kerajaan, kita sudah ada nama-nama untuk dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jawatankuasa ini adalah serius.

“Namun, kita masih menunggu senarai nama berkenaan bagi melancarkan urusan penubuhan jawatankuasa berkenaan untuk mengendalikan pelaksanaan darurat,” katanya dalam program Bicara Naratif: Proklamasi Darurat Dalam Perlembagaan terbitan RTM, malam tadi.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah menerima surat jemputan untuk Pakatan Harapan (PH) menyertai Jawatankuasa Khas Bebas yang bakal ditubuhkan bagi mengendali perjalanan darurat.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan surat jemputan berkenaan sudah diterima oleh Presiden PKR itu semalam.

Menurut beliau, surat berkenaan hanya menjemput dan mohon pembangkang menamakan tiga calon untuk menganggotai jawatankuasa khas berkenaan.

Dalam pada itu, menerusi Facebook miliknya, beliau mengesahkan perkara itu di samping menyatakan bekas Ketua Hakim Negara, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan bekas Ketua Polis Negara antara individu yang bakal dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas bagi menasihat Yang di-Pertuan Agong berkenaan perintah darurat yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Tambah Takiyuddin, selain mereka, tokoh dalam bidang keselamatan, pertahanan, badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis sosial sudah dinamakan oleh kerajaan untuk diperkenan dan dilantik oleh Seri Paduka. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.