Mesti patuh bila kerajaan ambil sementara aset

30

17 JAN: Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh Seri Paduka boleh mengambil secara sementara tanah, bangunan atau apa-apa bentuk harta alih daripada mana-mana pihak dan menggunakannya untuk tujuan yang bersesuaian dalam memerangi COVID-19.

Perkara itu dinyatakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam infografik FAQ Proklamasi Darurat 2021 yang disiarkan dalam laman Facebook agensi berkenaan, hari ini.

Selain itu, jelas MKN, semua pihak perlu mematuhi arahan apabila diminta oleh Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh Seri Paduka untuk menggunakan sumber seperti sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset serta maklumat berkaitan dengannya.

“Pampasan yang bersesuaian akan diberikan terhadap pemilikan sementara atau penggunaan tanah, bangunan, harta alih atau sumber ini dilakukan.

“Dalam hal ini, taksiran pampasan yang dibuat adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah,” kata MKN.

MKN menambah, darurat perlu diisytiharkan bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 berikutan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang digunakan selama ini tidak lagi memadai untuk mencapat matlamat tersebut.

MKN menjelaskan, selepas perisytiharan tersebut, pihak berkuasa mempunyai kuasa yang lebih besar dalam mendapatkan kerjasama pihak swasta kerana jangkitan COVID-19 tidak lagi terhad kepada lokaliti tertentu.

“Ini kerana kerajaan tidak boleh lagi berlengah dalam membuat perkiraan dengan pihak swasta untuk menggunakan sumber premis perubatan swasta serta sumber, utiliti dan aset.

“Selain itu, penguatkuasaan peraturan berkenaan kawalan penularan pandemik boleh disegerakan tanpa urusan birokrasi dan peraturan yang menyukarkan,” kata MKN. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.