Mesti ada insurans perjalanan sebelum masuk Singapura

62

17 JAN: Pelawat termasuk rakyat Malaysia yang ingin memasuki Singapura di bawah Pas Perjalanan Udara (ATP) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) perlu mempunyai insurans perjalanan untuk kos rawatan dan kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19 di negara itu.

Memetik laporan CNA, mereka mesti mendapatkan nilai perlindungan minimum S$30,000 (RM91,028).

Kementerian Kesihatan Singapura berkata, keperluan baharu itu berkuat kuasa mulai jam 12 tengah malam 31 Januari ini.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada penilaian semula Singapura yang mengenakan langkah sekatan sempadan yang lebih ketat bagi menangani risiko kes import COVID-19 dan penularan jangkitan tempatan daripada pelawat.

“Insurans perjalanan itu akan membantu mereka membayar kos rawatan perubatan di Singapura. Pelawat boleh membeli insurans perjalanan itu dari syarikat insurans berpangkalan di Singapura atau di luar negara,” kata Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan.

Senarai produk insurans yang tersedia boleh dirujuk di laman sesawang SafeTravel di https://safetravel.ica.gov.sg/health.

Singapura mempunyai perjanjian RGL dengan lima negara termasuk Malaysia dan enam kawasan di China.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.