Biadab! Muka selamba minum bir di pusat kuarantin

232

17 JAN: Sikap biadab sekumpulan individu minum bir di sebuah pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) di Sabah yang tular dalam media sosial sejak semalam telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan tindakan tersebut sangat biadab dan kurang ajar yang dilihat seolah-olah sedang bergembira sedangkan petugas barisan hadapan sibuk mengerah keringat menyelamatkan rakyat daripada pandemik COVID-19.

Presidennya, Adnan Mat berkata tindakan tersebut juga dilihat seperti tidak menghormati pengorbanan petugas kesihatan dan barisan hadapan yang lain kerana secara jelas melakukan kesalahan di kawasan yang digunakan sebagai fasiliti kesihatan untuk merawat pesakit COVID-19.

ADNAN MAT
ADNAN MAT

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya mereka sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan apatah lagi ketika sedang mendapatkan rawatan daripada petugas kesihatan.

“Tindakan meminum bir itu juga boleh mengundang ketidakselesaan pesakit lain yang sedang dirawat dan mungkin boleh mencetuskan masalah lain sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, dalam video itu, seorang lelaki dipaparkan memegang tin bir sambil berbual dengan orang lain.

Di penghujung rakaman, seorang lelaki dilihat bersama dua bekas berisi bir.

Oleh itu, Adnan memberitahu CUEPACS menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas kepada pelaku terbabit yang sememangnya jelas sengaja melanggar undang-undang.

Menurut beliau, tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar tiada lagi pihak lain yang berani bertindak seolah-olah petugas barisan hadapan sedang berseronok atau berhadapan dengan satu perkara yang remeh.

“CUEPACS juga mahu tindakan diambil kepada pihak yang terlibat membawa, membekalkan atau melepaskan minuman keras itu kepada pesakit yang dirawat.

“Sekiranya ada penglibatan oleh pihak pengawal keselamatan atau petugas kesihatan sendiri, tindakan tatatertib wajar dikenakan kerana ia mencemarkan integriti terutamanya membabitkan penjawat awam.

“Pekara ini tidak boleh dipandang remeh dan pihak berkuasa tidak perlu melindungi mereka yang bersalah,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, CUEPACS juga berharap tindakan dan keputusan siasatan ini dapat dilakukan dengan segera serta tidak mengambil masa yang lama.

Dalam masa yang sama, Adnan berkata CUEPACS menasihatkan semua pihak agar tidak melakukan perkara yang jelek di mana-mana pusat kuarantin yang menggambarkan kita sedang bergembira disebalik derita petugas barisan hadapan.

“Sentiasalah jaga tingkah laku masing-masing dan tidka bertindak mengikut perasaan walaupun tertekan atau bosan. Hormatilah petugas barisan hadapan yang berkorban nyawa berhadapan dengan virus COVID-19 ini.

“Kerjasama daripada semua rakyat sudah sekurang-kurangnya membantu dan memberi semangat kepada petugas barisan hadapan kita,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.