Sidang MKN tubuh jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat

137

16 JAN : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat yang akan dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Undang-Undang dan Ketua Setiausaha Negara.

Menurut Muhyiddin, penubuhan jawatankuasa teknikal ini adalah untuk memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar dan teratur.

“Jawatankuasa teknikal ini antara lain akan bertanggungjawab untuk memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat; meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian; menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri; dan mengetuai pemantauan dan naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat.

“Jawatankuasa ini juga akan dianggotai oleh lapan ahli tetap iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan Ketua Kluster,”katanya dalam satu kenyataan menerusi facebook rasmi beliau hari ini.

Muhyiddin hari ini mempengerusikan Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan menerusi sidang video bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Sidang tersebut berlangsung di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dengan setiap ahli mesyuarat diasingkan di beberapa bilik di tingkat berlainan di bangunan ini.

“Alhamdulillah, sidang Darurat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri ini adalah yang pertama diadakan selepas Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bagi membincangkan hala tuju pengurusan darurat di peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Insya-Allah, saya berharap agar jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan mendapat kerjasama dan sokongan di semua peringkat bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara dapat dilakukan dengan berkesan,” ujarnya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.