Pengisytiharan Darurat tidak cabul hak asasi rakyat

83

16 JAN : Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pengisytiharan darurat untuk membendung penularan pandemik COVID-19 tidak mencabuli hak asasi rakyat dan pelaksanaan perintah itu berperlembagaan, kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Sri Ram berkata alasan perisytiharan darurat itu terkandung dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150 (1) itu memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan terancam.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19.

Walau bagaimanapun kata Sri Ram, perintah itu boleh dicabar jika seseorang mempunyai bukti kukuh pengisytiharan dibuat dengan niat tidak baik.

“Mahkamah mempunyai kuasa untuk mengarahkan kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong agar menarik balik darurat. Sebarang tindakan eksekutif boleh dicabar atas alasan undang-undang dan perlembagaan.

“Satu contoh alasan undang-undang ialah eksekutif mengambil kira perkara yang tidak relevan, iaitu yang di luar peruntukan Perkara 150,” ujarnya.

Sri Ram menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk melanjutkan pelaksanaan darurat selepas 1 Ogos jika Seri Paduka memikirkan langkah itu perlu bagi negara.

“Perkara 150 (8)(b)(ii) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai pelanjutan Proklamasi  Darurat dan kesahan keputusan baginda tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah,” katanya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.