Muhyiddin ucap takziah kepada keluarga Tun Salleh Abas

21

16 JAN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menzahirkan rasa sedih atas pemergian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas, yang telah kembali ke Rahmatullah awal pagi tadi.

Berikutan itu, Muhyiddin dan keluarganya  mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang.

“Semoga mereka tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.

“Bagi pihak Kerajaan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan Allahyarham dalam memperkasa dan mengangkat integriti institusi kehakiman sepanjang berkhidmat selaku Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988.

“Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Tun Mohamed Salleh menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah pada pukul 3.20 pagi ini.

Semalam, Tun Salleh Abas yang juga merupakan Pengerusi as Salihin Trustee Berhad disahkan positif Covid-19 menerusi satu kenyataan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut, Abdul Aziz Peru.

Mohamed Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih daripada Pas apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999. Allahyarham juga merupakan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 sehingga 1988.

Tamat

ReplyForward

Get real time updates directly on you device, subscribe now.