Korban Covid-19 cecah lebih 2 juta seluruh dunia

15

16 JAN : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus menggesa pelaksanaan vaksinasi besar-besaran bagi menyekat penularan pantas pandemik itu berikutan jumlah korban Covid-19 melepasi dua juta mangsa di seluruh dunia semalam.

Setakat jam 18.25 petang semalam, sekurang-kurang 2,000,066 kematian akibat wabak itu telah disahkan.

Semalam, WHO menggesa pelaksanaan vaksinasi itu dipercepatkan di seluruh dunia, namun syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS), Pfizer, dilapor memaklumkan penghantaran vaksin keluarannya akan menjadi perlahan bagi tempoh tertentu pada akhir bulan ini.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada sidang media di Geneva berkata, beliau mahu melihat vaksinasi dilaksanakan di setiap negara dalam tempoh 100 hari akan datang.

Pfizer yang membangunkan vaksin bersama syarikat Jerman, BioNTech, memaklumkan bahawa negara Kesatuan Eropah dijangka berdepan kelewatan penghantaran bekalan terbabit dalam beberapa minggu akan datang atas faktor kerja di kilang pengeluarannya di Belgium.

Bagaimanapun syarikat itu berjanji, penghantaran bakal ‘meningkat secara signifikan’ pada Mac depan, manakala Suruhanjaya Eropah memaklumkan bahawa semua vaksin ditempah blok itu bagi suku pertama akan dibekalkan pada masanya.

Secara global, jangkitan COVID-19 melonjak dengan purata 724,000 kes baharu sehari direkodkan sepanjang tempoh seminggu yang lalu, naik 10 peratus berbanding minggu sebelum itu.

Di Eropah yang mencatatkan lebih 650,000 korban COVID-19, setakat ini, timbul kebimbangan bahawa penangguhan suntikan Pfizer akan melambatkan lagi pelaksanaan vaksinasi.

Manakala penularan di Amerika Latin dan Caribbean menyaksikan lonjakan ketara dengan bilangan kes meningkat 26 peratus, minggu ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.