Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah

19

16 JAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas, yang telah kembali ke Rahmatullah pada pagi ini.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” titah baginda berdua menerusi satu kenyataan disiarkan di laman Facebook Istana Negara, sebentar tadi.
.
Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut, Terengganu menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket PAS pada 1999. Untuk rekod Allahyarham adalah Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 sehingga 1988.

Terdahulu, media melaporkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah pada pukul 3.20 pagi ini, selepas disahkan positif Covid-19, semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.