Tumpu usaha bantu rakyat, usah polemik keputusan darurat

73

15 JAN: Tan Sri Annuar Musa menggesa semua pihak agar menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha untuk menyelamat dan membantu rakyat daripada penularan kes wabak Covid-19 yang kini mencecah empat angka setiap hari.

Kata beliau, dalam situasi hari ini, ramai rakyat yang terkesan kerana hilang pekerjaan dan mengalami kesempitan hidup, menghadapi masalah ekonomi, tempat tinggal yang harus diberikan tumpuan dan keutamaan.

“Justeru, semua pihak termasuk kerajaan, pemimpin politik dan rakyat perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani masalah penularan COVID-19 sepanjang tempoh darurat mulai sekarang hingga 1 Ogos nanti.

“Kita perlu bekerja siang malam dan tidak harus mempolitikan perkara ini dan jangan mengalihkan kepada perkara seperti kepentingan politik peribadi atau kumpulan sebaliknya inilah masanya untuk kita bergandung bahu dan bermuafakat untuk menyelamatkan rakyat dan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Sementara itu, kata Annuar,semua taman awam dan rekreasi di seluruh Wilayah Persekutuan akan dibuka semula kepada orang ramai namun dengan kawalan ketat dan tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti berkumpulan seperti senam robik.

Beliau berkata, aktiviti perniagaan juga tidak dibenarkan beroperasi manakala orang ramai yang berkunjung ke kawasan itu mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Annuar yang juga Ahli Menteri Wilayah turut melahirkan kebimbangan mengenai peningkatkan kes dan kluster baharu penularan Covid-19 di Wilayah Persekutuan terutama berpunca dari kontak rapat dengan kes indeks.

“Pengumuman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup semua taman awam, kita dapat maklum balas penutupan tidak semestinya selari dengan keputusan MKN (Majlis Keselamatan Negara), seperti riadah secara bersendirian masih dibenarkan.

“Selepas menimbang semula, kita memutuskan taman awam DBKL hendaklah dibuka tetapi dikawal selia, SOP mesti dipatuhi.

“Lazimnya, apabila taman dibuka, ada kumpulan buat riadah dan berkelah, namun ia tidak pula menghalang aktiviti lain dibuka untuk digunakan orang awam selagi ia tidak bertentangan dengan SOP KKM (Kementerian Kesihatan),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan akan memberikan beras percuma kepada 3,000 warga Wilayah pada setiap minggu.

“Pemberian beras percuma ini akan diberikan tiga kali seminggu, Mereka yang memerlukan beras percuma ini boleh berjumpa pengerusi Majlis Perwakilan penduduk masing-masing bagi mendapatkan kupon beras,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.