Terima padah jalin hubungan sulit dengan isteri orang

204

15 JAN: Tindakan seorang penganggur yang menjalinkan hubungan sulit serta meminjam wang dengan isteri orang membawa padah apabila tiga lelaki dipercayai rakan suami wanita tersebut  bertindak memukul dan mengurung individu itu di dalam sebuah rumah flat di Mak Mandin, Butterworth, semalam. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki itu bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas gerakan mencarinya dilakukan sebaik menerima laporan polis daripada orang awam.

“Hasil siasatan awal, mendapati kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sungai Nyior, Butterworth apabila mangsa berusia 38 tahun itu dilarikan tiga lelaki yang berang selepas mangsa gagal melangsaikan hutangnya yang berjumlah RM2,300.

“Lelaki berusia 38 tahun itu bukan setakat meminjam wang, malah menjalinkan hubungan sulit bersama wanita tersebut yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek. 

“Salah seorang suspek berusia 40 tahun bertindak sedemikian kerana berang mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya yang berusia 32 tahun ketika dia menjalani hukuman di penjara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, hari ini. 

Terdahulu, kejadian tersebut tular di laman sosial namun dengan kecekapan polis kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh hanya enam jam.

Noorzainy memberitahu, kejadian yang menjadi tular di media sosial selepas dirakam oleh pengguna jalan raya di lokasi kejadian.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian itu menyangka seorang lelaki telah diculik tiga suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira. Daripada keterangan saksi (wanita), seorang lelaki telah lari keluar daripada kereta berkenaan sambil menjerit meminta tolong.

“Bagaimanapun, dua suspek keluar daripada kereta tersebut lalu mengejar mangsa. Mereka kemudian mengikat mangsa dan membawanya masuk ke dalam kereta sebelum memecut laju,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata mangsa di temui dengan kecederaan parah luka di kepala serta lebam seluruh badan akibat dipukul dengan kayu, playar, besi dan pemutar skru.

Tambahnya, polis turut merampas pelbagai barang milik suspek, barangan seperti tali yang digunakan untuk mengikat dan pemutar skru untuk memukul mangsa.

“Susulan itu, polis berjaya menahan tiga suspek berusia 24 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan kes tersebut.

Kesemua suspek yang positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 367 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara selama sepuluh tahun dan didenda,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.