Simpan penemuan artifak sejarah boleh didenda, dipenjara

55

15 JAN : Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor mengingatkan orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terjumpa barangan atau artifak bersejarah.

Menurut beliau, mana-mana pihak yang enggan berbuat demikian boleh didakwa kerana menyimpan barang atau harta warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan jika sabit kesalahah, mereka yang terlibat boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun.

“Akta itu menetapkan orang awam yang menjumpai barang warisan hendaklah segera melaporkannya kepada pihak berwajib dan tidak mengambil komponen atau sebahagian daripada harta tersebut untuk dijadikan simpanan atau koleksi.

“Objek yang dijumpai selepas akta tersebut berkuat kuasa juga adalah menjadi hak mutlak kerajaan Persekutuan dan pampasan boleh dibayar kepada pemilik tanah jika ia dijumpai di atas tanah hak milik. 

“Pegawai penguat kuasa atau polis boleh menangkap individu yang dipercayai melakukan kesalahan seperti merosakkan, mencacatkan, melupuskan atau mengubah objek warisan tanpa kebenaran,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, sebuah rangka sebuah kapal lama yang dipercayai berusia ratusan tahun ditemukan terdampar di tepi Sungai Lipis, berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom, Kuala Lipis kira-kira 220 kilometer dari sini. 

Kapal yang diperbuat daripada kayu dan logam itu dipercayai timbul kesan daripada banjir yang melanda daerah itu pada 3 Jan lepas, sebelum banjir surut kira-kira seminggu kemudian.

Azli berkata pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan kapal itu oleh seorang wanita berusia 50 tahun yang merupakan penduduk kampung tersebut sekitar 5 petang, dan sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian bagi mengesahkan maklumat tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat satu objek logam yang tertera tulisan VIVIA AND SONS SHEATING pada badan kapal itu. Terdapat juga angka 16 yang dipercayai mungkin angka berat atau ketumpatan tembaga.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan daripada Jabatan Warisan Malaysia yang dijadualkan tiba bagi membuat pemeriksaan lanjut dan buat masa ini, kawasan sekitar kapal itu berada dalam jagaan polis,” jelasnya.

Katanya lagi, pemeriksaan pihak polis juga mendapati beberapa komponen pada badan kapal tersebut telah tiada dan berdasarkan temu bual dengan mereka yang tinggal berhampiran, komponen tersebut dipercayai diambil oleh sekumpulan penduduk kampung.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.