Kerajaan jamin simpanan pendeposit TH tidak terjejas

32

15 JAN : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menafikan dakwaan beberapa pihak kononnya cadangan pindaan Akta TH 1995 akan menjejaskan jaminan kerajaan kepada pendeposit TH.

Menurut beliau, kerajaan akan terus menjamin simpanan sembilan juta pendeposit Tabung Haji (TH) yang sudah diberikan sebelum ini bagi memastikan agensi itu terus menjadi kebanggaan dan harapan umat Islam di negara ini.

“Saya terpanggil untuk memberi penjelasan terhadap isu yang berlegar berkenaan perbincangan saya dan Menteri Kewangan berkenaan TH semalam.

“Apa yang tertera pada tajuk berita tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ia sama sekali tidak menggambarkan pendirian kerajaan dalam hal berkenaan

“Perbincangan semalam hanya seputar isu-isu penstrukturan semula yang bakal membawa keberhasilan tinggi khususnya bagi manfaat pendeposit TH. Kerisauan dibangkitkan segelintir pihak berkenaan adalah di luar fokus perbincangan semalam,” katanya menerusi satu kenyataan di facebook rasmi beliau.

Hari ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menggesa Zulkifli memberikan jaminan kepada lebih 9.4 juta pendeposit bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus mempertahankan jaminan terhadap setiap wang pendeposit yang menjadi keistimewaan TH.

Beliau seterusnya berkata, TH kini berada di landasan betul untuk mengorak langkah lebih cemerlang dengan sokongan umat Islam di Malaysia.

“Sebagaimana umum sedia maklum, prestasi cemerlang TH sejak peralihan kerajaan berjaya membuktikan kestabilan tadbir urus agensi berkenaan.

“Ini dapat dibuktikan antaranya menerusi pembelian Menara VSQ1 daripada Bukit Damansara Development Sdn Bhd dan jumlah deposit sebanyak RM75.9 billion sehingga 30 Disember 2020,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.