Daftar vaksin COVID-19 dibuka tak lama lagi

74

15 JAN: Orang ramai boleh mula mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 melalui tiga fasa, tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pemberian vaksin itu bagi membentuk imunisasi berkelompok dalam negara.

“Fasa pertama akan diberikan kepada petugas barisan hadapan, fasa kedua untuk kumpulan berisiko tinggi atau berpenyakit kronik serta warga emas berumur 60 tahun ke atas dan fasa terakhir kepada orang awam berusia 18 tahun dan ke atas.

“Sehingga 13 Januari, kira-kira 32 juta orang di seluruh dunia sudah disuntik vaksin COVID-19. Ini menunjukkan vaksin ini diterima masyarakat dunia. Namun, vaksin bukanlah penyelesaian. Selepas disuntik, kita masih perlu mempraktikkan norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, terdapat empat matlamat imunisasi COVID-19, iaitu untuk melindungi barisan hadapan, mengurangkan kematian, membentuk imuniti berkelompok dan memutuskan rantaian jangkitan.

Mengenai penerimaan rakyat terhadap vaksin COVID-19, beliau berkata, tinjauan oleh KKM secara dalam talian pada 21 hingga 28 Disember lalu mendapati sebahagian besarnya bersetuju.

“Tinjauan dalam talian ini disertai 212,000 responden dan daripada jumlah itu, 67 peratus bersetuju, 17 peratus tidak pasti dan 16 peratus tidak bersetuju.

“Peratusan yang tidak pasti itu kerana mereka risau akan keberkesanan vaksin terbabit. KKM akan membuat tinjauan dan kaji selidik dari semasa ke semasa untuk mengetahui peneriman rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kerajaan mensasarkan 70 peratus atau 23 juta rakyat Malaysia akan diberikan vaksin.

Turut dilaporkan adalah vaksin Pfizer-BioNTech yang akan diterima Malaysia pada akhir Februari ini sudah diberi kelulusan bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM.

Selain Malaysia, 49 negara lain turut memberi kelulusan terhadap vaksin berkenaan, malah sudah ada sebahagian daripada negara itu mula menggunakannya.

Untuk rekod, vaksin Pfizer juga menjadi vaksin COVID-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.