Cubaan seludup bawang hampir RM180,000 tumpas

34

15 JAN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor berjaya mematahkan cubaan sebuah syarikat tempatan untuk menyeludup masuk bawang bernilai RM179,822.85 dari China dan Pakistan di Pelabuhan Klang Barat, Selasa lalu.

Pengarahnya, Dr Tarmisal Alimin berkata, MAQIS berjaya membuat rampasan itu hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa sekitar jam 11.30 pagi di pelabuhan tersebut.

Menurut beliau, rampasan itu menyusul selepas mendapati syarikat tempatan itu gagal mematuhi syarat Sijil Perakuan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan) yang telah ditetapkan MAQIS Selangor.

“Kedua-dua kontena itu mengandungi 86,500 kg bawang merah dan kuning yang dianggarkan bernilai RM179,822.85.

“Barang dagangan (bawang merah dan kuning) dirampas kerana tidak mematuhi syarat seperti mana yang dinyatakan pada permit import MAQIS iaitu tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Tarmisal memberitahu kegagalan syarikat berkenaan mengemukakan maklumat itu adalah menjadi suatu kesalahan serius mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.

“MAQIS mengambil serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kelestarian makanan negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.