Covid-19: Penerbangan ke Sarawak akan dikurangkan

16

15 JAN : Menteri Pengangkutan Negeri Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata penerbangan ke bumi kenyalang itu akan dikurangkan ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri tersebut.

Selain itu, keputusan mengurangkan penerbangan ke negeri itu adalah disebabkan  bilangan bilik hotel yang terhad bagi tujuan kuarantin dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sibu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuching dan Miri, ujarnya.

“Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) semalam. Ia dibuat berdasarkan pelbagai sebab seperti PKPB di Kuching dan Miri yang telah diisytiharkan zon merah dari 13 hingga 26 Jan.

Tambahan pula, bermula 16 hingga 29 Jan, PKP akan dikuatkuasakan di Bahagian Sibu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan satu kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, maklumat terbaru mengenai jadual penerbangan yang diluluskan JPBNS telah disebarkan kepada orang ramai melalui media sosial.

“Kami percaya orang ramai akan mengetahui sepenuhnya perubahan jadual penerbangan untuk membantu mereka mengatur rancangan perjalanan dengan lebih baik semasa pandemik Covid-19.

“Keputusan JPBNS itu juga telah kementerian maklumkan kepada MAS, AirAsia, Malindo dan Maswings pada 14 Jan mengenai penerbangan yang diluluskan ke Sarawak.

“Justeru, orang ramai juga dinasihatkan agar menempah atau membeli tiket penerbangan mereka berdasarkan jadual penerbangan terbaru yang diluluskan JPBNS yang dimuat naik di media sosial. Mereka juga boleh memeriksa jadual penerbangan terbaru di laman web Kementerian Pengangkutan, Sarawak di mot.sarawak.gov.my,” ujarnya.

Lee berkata bermula 15 Jan jumlah penerbangan mingguan yang diluluskan dari Kuala Lumpur ke Kuching hanya 13 berbanding 28 ketibaan sebelum ini.

Ketibaan penerbangan mingguan yang diluluskan dari Kuala Lumpur ke Miri dikurangkan dari 19 kepada empat; dari Kuala Lumpur ke Bintulu, 10 kepada empat; manakala dari Kuala Lumpur ke Sibu dari lima kepada dua.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.