Bank Rakyat tawar moratorium pelanggan terjejas banjir

76

15 JAN: Peminjam Bank Rakyat kini boleh menarik nafas lega apabila institusi perbankan itu menawarkan kemudahan moratorium selama enam bulan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir yang melanda negara sejak akhir tahun lalu.

Pelanggan Bank Rakyat yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran pembiayaan akibat terkesan dengan bencana ini boleh memohon bantuan moratorium ini bermula 20 Januari.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah yang diambil Bank Rakyat ini adalah inisiatif mengurangkan beban kewangan ditanggung pelanggan yang terjejas termasuk mereka yang berdepan dengan kekangan kewangan akibat pandemik Covid-19.

“Bank Rakyat memahami kesukaran yang dihadapi pelanggan termasuk individu dan usahawan berikutan bencana ini lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengetatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di seluruh negara baru-baru ini.

“Semoga inisiatif yang diambil Bank Rakyat ini diharapkan dapat memberikan impak positif serta membantu meringankan beban yang ditanggung oleh masyarakat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Bank Rakyat mengumumkan peruntukan bantuan khas untuk mangsa banjir berjumlah RM500,000 yang akan diagihkan menerusi pejabat wilayah dan cawangan Bank Rakyat khususnya di sekitar kawasan yang terjejas.

Antara produk Bank Rakyat yang ditawarkan untuk bantuan moratorium ini termasuk, Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i dan Pembiayaan Mikro-i.

Pelanggan boleh menghubungi Bank melalui e-mel [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Panggilan di talian 1300800800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat Wilayah yang berdekatan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.