TLDM terima ‘Sundang’ hujung bulan ini

29

14 JAN : Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima sebuah Kapal Misi Pesisir (LMS) kedua yang diberi nama Sundang, buatan China yang dijangka belayar pulang ke negara ini daripada di Pelabuhan Wuchang, Shanghai, pada minggu ketiga bulan ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, TLDM berkata, setelah lebih dua tahun pembinaan LMS tersebut, Sundang berjaya melepas beberapa siri ujian di pelabuhan dan laut dan akan diserahkan kepada Malaysia tidak lama lagi.

“Sundang mula dibina pada 23 Oktober 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan, China sebelum dijadual diserah kepada Kerajaan Malaysia pada 12 April tahun lalu.

“Namun, ia hanya dapat dilaksanakan semalam, susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia, yang menyaksikan pembinaan Sundang terpaksa ditangguhkan pada 23 Januari tahun lalu.

“Projek ini diaktifkan semula pada 18 Mei 2020 dan bakal warga kapal Sundang dihantar semula ke Qidong, Shanghai pada Oktober tahun lalu bagi menyambung siri latihan penyesuaian kapal yang tertangguh,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, upacara pentauliahan kapal berkenaan akan diadakan pada satu tarikh yang ditetapkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu oleh Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

LMS antara lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada ’15to5′ TLDM dan kontrak perolehan empat LMS sudah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada 23 Mac 2017, dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd.

Ia adalah projek perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari China, manakala kapal ketiga serta keempat pula masing-masing dijadual diserahkan pada September dan November ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.