Rekalibrasi PATI: Imigresen tak lantik pihak ketiga

14 JAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan tidak pernah melantik mana-mana agen atau pihak ketiga bagi mengendalikan program rekalibrasi pendaftaran pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan mengenakan bayaran tertentu.

Justeru, JIM menasihatkan orang ramai khususnya majikan agar lebih berhati-hati dalam mengendalikan program Pelan Rekalibrasi PATI di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat cubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan pendaftaran program berkenaan dengan bayaran tertentu.

“Pelan rekalibrasi PATI merangkumi program tenaga kerja dan program rekalibrasi pulang untuk warga asing telah bermula pada 16 November 2020.

“Namun, JIM telah menerima maklumat terdapat cubaan oleh agen dan pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi ini kepada majikan yang ingin menggaji PATI dan kepada PATI yang ingin pulang ke negara asal dikenakan bayaran tertentu.

“Jabatan ini tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi ini,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook agensi itu, hari ini.

Program Rekalibrasi Pulang merupakan program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu ditetapkan.

Bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula ia adalah suatu program khas untuk menjadikan PATI di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan layak.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang urusan dengan agen dan pihak ketiga untuk pendaftaran Program Rekalibrasi.

Tambah beliau, pendaftaran program ini hanya boleh dibuat secara terus di laman web www.imi.gov.my.

“Jabatan ini akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa berhubung Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program ini boleh membuat pertanyaan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh dicapai di pautan, ” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.