PH sudah terima jemputan sertai JK Khas Bebas

178

14 JAN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah menerima surat jemputan untuk Pakatan Harapan (PH) menyertai Jawatankuasa Khas Bebas yang bakal ditubuhkan bagi mengendali perjalanan darurat.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan surat jemputan berkenaan sudah diterima oleh Presiden PKR itu semalam.

Menurut beliau, surat berkenaan hanya menjemput dan mohon pembangkang menamakan tiga calon untuk menganggotai jawatankuasa khas berkenaan.

“Terma dan syarat pelantikan serta bagaimana jawatankuasa itu bertindak tidak dinyatakan,” katanya kepada media selepas ditanya laporan yang menyatakan Anwar menerima surat jemputan untuk mencalonkan wakil pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Bebas berkenaan.

Difahamkan surat berkenaan dihantar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan PH akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai surat jemputan itu serta calon yang dirasakan sesuai untuk dinamakan.

“Kita akan adakan mesyuarat dalam masa terdekat,” katanya namun enggan mengulas sama ada diberikan tempoh untuk menjawab surat berkenaan.

Pada pengumuman khas darurat Isnin lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, bagi menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan.

Jawatankuasa itu ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh ditetapkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.